Friday, October 22, 2010

3 anak si buta masuk universiti


Monday, July 09, 2007
Harian Metro, 9 julai 2007

Oleh Samsudin Oli Mohamed

SINTOK: Seorang tukang urut yang cacat penglihatan bangga apabila tiga anaknya mendaftar serentak untuk melanjutkan pengajian di menara gading yang bermula kelmarin.

Tiga anak pasangan Ibrahim Md Isa, 47, bersama isterinya, Nur Sakinah Thomas Abdullah, 42, masing-masing mendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Anak sulung mereka Mohd Ammar Ibrahim, 20, mendaftar di USM, manakala anak kembarnya Nur Mutmainnah, 19, mendaftar di UUM manakala Nur Syuhada mendaftar di UPM, hari ini.

Ibrahim yang ditemui ketika menemani Nur Mutmainnah mendaftar sebagai pelajar di Kolej Yayasan Albukhary UUM berkata, dia bersyukur kerana tiga anaknya berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana doa dan harapan supaya anak-anak ke menara gading tercapai.

“Kesungguhan isteri dan anak-anak untuk menjadikan keluarga ini mengamalkan budaya berpelajaran dan sentiasa berusaha untuk beroleh kejayaan amat membanggakan saya,” katanya.

Bapa kepada empat anak yang mengusahakan pusat urut tradisional di Kajang itu berkata, kehidupan mereka sederhana, namun berpegang kepada prinsip usaha dan menanamkan semangat untuk beroleh kemenangan yang dalam kehidupan.

“Rumah saya mempunyai tujuh almari tetapi bukan untuk menyimpan pakaian sebaliknya menyimpan buku-buku,” ujarnya lagi.

Ibrahim yang sentiasa senyum dan peramah ketika ditemubual melahirkan

rasa terkilan kerana tidak dapat membimbing anak-anaknya untuk belajar, tetapi dengan ketabahan dan kesanggupan ibu mereka Nur Sakinah yang turut menjadi pelajar dalam Unit Pendidikan Jarak Jauh di UPM menjadikan keluarga ini lebih bersemangat mengukir kejayaan demi kejayaan.
Labels: Buta

No comments:

Post a Comment