Friday, October 22, 2010

Masalah fizikal tidak halang Chee Seng dapat 11A


Wednesday, March 14, 2007
Utusan Malaysia, 14 Mac 2007

SEREMBAN 13 Mac – Perasaan Lue Chee Seng, 17, pernah remuk apabila seorang guru memanggilnya dengan gelaran ‘tempang’ sewaktu di tingkatan satu kerana masalah kakinya yang panjang sebelah.

Akibat insiden itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV) tersebut amat tertekan kerana tidak dapat menerima hakikat digelar sedemikian rupa sedangkan beliau mampu berjalan secara normal menggunakan kasut khas yang bertapak tebal.

Semalam, anak bongsu daripada dua beradik itu tersenyum bangga apabila mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 10 1A dan 1 2A. “Pencapaian ini adalah khas untuk abang saya, Lue Chee Onn, 22, yang sedang belajar di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Dia banyak melindungi dan memberi nasihat agar masalah fizikal saya ini tidak dijadikan penghalang mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Anak kepada pasangan pengusaha sebuah kedai makan di Jalan Rasah itu memberitahu, kejayaan tersebut bagaimanapun tidak memadamkan ingatannya terhadap penghinaan yang dihamburkan guru terbabit.

Perkara itu dibuktikan apabila beliau mampu menyatakan tarikh kejadian tersebut iaitu pada hari Khamis, 21 Mac 2002 kira-kira pukul 9 pagi di padang sekolah berkenaan.

“Janganlah kita menghina orang kerana semua manusia tidak sempurna. Saya tidak dapat menerima perbuatan itu, hati saya amat tercalar,” tegasnya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Menceritakan mengenai masalah kaki kanannya yang pendek kira-kira 10 sentimeter, beliau berkata, ia berlaku sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali di Kuala Lumpur dan Singapura.

“Sewaktu berusia enam tahun, saya menjalani pembedahan pertama di Kuala Lumpur tetapi ia gagal, kemudiannya saya dihantar menjalani prosedur sama di Singapura sebanyak dua kali.

“Setahun selepas itu, kaki saya menjadi sama panjang namun selepas itu ia kembali bermasalah, tulang keting saya sebenarnya kurang satu dan satu ketika dulu saya perlu memakai braket besi sebagai struktur sokongan,” katanya.

No comments:

Post a Comment